Dakwah pada peringkat permulaannya kepada kaum kerabat terdekat adalah suatu kebiasaan khususnya ketika akan melakukan dakwah secara terbuka. Ini disebabkan dakwah yang dijalankan kadangkala mengundang bahaya kepada dai’. Sudah semestinya seseorang dai amat memerlukan pertolongan daripada orang yang lebih memahami situasi dirinya iaitu kaum kerabatnya dan keluarga dai’lah yang akan bersedia membantunya.
Kita dapati bahawa benih pertama dalam peringkat dakwah secara rahsia tumbuh dalam rumah Rasulullah SAW sendiri. Manusia pertama yang memeluk Islam adlah isterinya sendiri iaitu Khadijah binti Khuwailid r.a., hambanya Zaid bin Harithah, dan sepupunya Ali bin Abi Talib r.a. yang telah tinggal bersamanya. Rasulullah SAW sendiri yang mentarbiyah Ali secara bersembunyi daripada pengetahuan Abu Talib yang banyak memberi pertolongan tapi miskin ilmu dinisbahkan dengan kemasyhurannya dalam menjaga Rasulullah sejak kecil.
Anak-anak Rasulullah SAW iaitu Zainab, Ruqaiyah,Ummi Kalthum, dan Fatimah Az-Zahra dan seluruh penghuni rumah baginda menjadi muslim. Oleh itu, apabila berpindahnya dakwah ke peringkat secara terbuka, semestinyalah mendakwah keluarga terdekat iaitu Bani Hasyim dan Bani al-Mutalib dan mengajar mereka mmenunaikan perintah Allah. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah ini adalah satu sunnatullah seperti yang diceritakannya kepada kita, yang hampir menyamai kisah Nabi Allah Luth a.s. ketika mana datang kepadanya kaumnya secara tergesa-gesakerana ingin melakukan kejahatan dengan tetamunya yang terdiri dariapda golongan malaikat. Ketika Nabi Luth berpindah ke Syam, tidak ada satu kabilah pun yang menolong atau mempertahankannya melainkan dua anak perempuannya. Isterinya sendiri kafir, orang-orang beriman terlalu sedikit bilangannya dan tidak berkemampuan untuk menolongnya. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zariyat ayat 35 hingga 36 bermaksud:
“(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu) Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ,(sesudah periksa), Kami mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman dengan Nabi Luth)”
Kumpulan kecil lagi lemah ini yang tidak dapat bergantung kepada hubungan keluarga yang begitu terhad kekuatannya di amana Nabi Luth berkata:
“Nabi berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat tumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)” (Hud:80)
Mengenai keadaan ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Rahmat Allah ke atas Luth kerana dapat bertahan (sokongan) di tempat yang kuat (yakni Allah SWT). Allah tidak utuskan nabi selepasnya melainkan kebanyakan mereka dari kaumnya”.
Begitu jugalah sunnatullah yang berlaku di antara kuffar Madyan dngan Nabi Allah Syu’aib, firman Allah dalam surah Hud ayat 91 berbunyi:
“Wahai Syu’aib, kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakana itu dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluarganmu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami”.
Sama ada keluarga terdekat itu beriman atau tidak, pertolongan kepada keluarganya yang berdakwah merupakan langkah yang kukuh dalam sejarah dakwah. Abu Talib dan Abu Lahab telah bercanggah pendirian. Abu Talib memerlukan sokongan kepada Rasulullah SAW walaupun beliau tidak memeluk Islam malah riwayat tidak menyebut bahawa ada seseorang memeluk Islam dalam dakwah Rasullah dalam majlis ini, riwayat menyebutkan cuma Ali r.a sahaja yang mengisytiharkan keislamannya.
Daripada keluarga terdekat menjadi keluarga terbesar di mana pengisytiharan umum Bukit Safa di penjuru Mekah terbuka kepada yang umum dan khusus. Berpandu kepada firman Allah, “Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat” baginda Rasulullah SAW mengumpulkan semua keluarga dan kerabatnya lalu berkata kepada mereka, “Wahai Bani Ka’b bin Lu’ai, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Murrah bin Ka’b, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Badi Syams, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Wahai Bani Abdul Muthalib, selamatkanlah dirimu dari api neraka!Wahai Fatimah, selamatkanlah dirimu dari api neraka! Sesungguhnya aku tidak akan dapat membela kalian di hadapan Allah, selain bahawa kalian mempunyai tali kekeluargaan yang akan aku sambung dengan hubungannya.
Mereka menghadiri panggilan Rasulullah sebagai mewakili keseluruhan Quraisy. Rasulullah menyeru mereka kepada Islam dan kejayaan, namun mereka semua berpaling daripada Rasulullah dengan penuh kecewa khususnya ketika Abu Lahab memaki hamunnya di hadapan Quraisy dan pembesar-pembesar mereka dengan katanya: “Celaka sungguh engkau! Apakah kerana ini engkau menghimpunkan kami?”
Tetapi pendirian Abu Talib yang mengisytiharkan sokongannya kepada Rasulullah dan kejayaannya telah mengeruhkan suasana barisan penduduk Mekah kerana pengisytiharan ini mengembalikan perang dalaman yang baru dalam barisan pimpinan Mekah. Sesungguhnya arahan al-Quran sungguh jelas di mana Rasulullah tiada pilihan lain untuk mengisytiharkann secara umum walau apa kesudahannya sekalipun.
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik” (Al-Hijr:94)
Walau bagaimanapun, arahan pengisytiharan dan dakwah secara tebuka telah mendekatkan dakwah kepada sifat-sifat sabar dan terbuka dengan musyrik serta pertentangan dengan mereka yakni cuba menghapuskan perbalahan dengan mereka dan menjauhkan sifat-sifat ini walau dengan apa cara sekalipun.
Melalui kisah ini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa sebanarnya Allah boleh sahaja tidak memerintahkan Rasul-Nya untuk memberi peringatan kepada keluarga dan kerabat baginda secara khusus. Ini kerana sudah cukup dan jelas dengan keumuman perintah-Nya pada surah Al-Hijr ayat 94 di atas. Perintah ini sudah mencakup semua anggota keluarganya dan kerabatnya. Lalu, apakah hikmah dikhususkannya perintah untuk memberi peringatan kepada keluarga ini?
Jawapannya, ini merupakan isyarat kepada beberapa tingkat tanggungjawab yang berkaitan dengan setiap muslim pada umumnya, dan para da’i secara khusus.
Tingkat tanggungjawab yang paling rendah ialah tanggungjawab seseorang terhadap dirinya. Kerana mempertimbangkan penumbuhan tingkat tanggungjawab ini, maka rentang waktu permulaan wahyu berlangsung dalam tempoh yang agak lama iaitu sampai Rasulullah SAW mantap dan menyedari bahawa baginda adalah seorang nabi dan rasul. Juga bahawa apa yang diturunkan kepadanya adalah wahyu daripada Allah yang harus diyakininya terlebih dahulu, dan mempersiapkan dirinya untuk menerima prinsip, sistem dan hukum yang akan diwahyukan.
Tingkat berikutnya ialah tanggungjawab seorang muslim terhadap keluarga dan kerabat dekatnya. Sebagai pengarahan kepada pelaksanaan tanggungjawab ini, Allah secara khusus memerintahkan nabi-Nya agar memberi peringatan kepada keluarga dan kerabat dekatnya, setelah peringatan bertabligh secara umum. Ini bersesuaian denan firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 66 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-bata; neraka itu dijaga oleh dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mreka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
Tingkat tanggungjawab ini merupakan kewajipan bagi setiap muslim yang memiliki keluarga. Tidak ada perbezaan antara dakwah Rasul kepada kaumnya dan dakwah seorang muslim kepada keluarganya. Perbezaannya adalah Rasulullah berdakwah kepada syariat baru yang diturunkan Allah kepadanya, manakala seorang muslim berdakwah dengan dakwah rasul. Sebagaimana Nabi dan Rasul tidak dapat tidak perlu menyampaikan dakwah kepada keluarga dan kerabat dekatnya. Bahkan ia wajib ‘memaksa’ keluarga untuk melaksanakannya, maka demikian pula bagi seorang muslim terhadap keluarga dan kerabatnya.
Tingkat ketiga ialah tanggungjawab seorang ‘alim terhadap kampung atau negerinya, dan tanggungjawab seorang penguasa terhadap negara dan kaumnya. Masing-masing dari keduanya menggantikan tanggungjawab Rasulullah SAW secara syar’i, sebagaiman sabda baginda, “Ulama adalah pewaris para Nabi”. Selain itu, imam dan penguasa juga disebut khalifah (pengganti), yakni pengganti Rasulullah.
Jadi, sebagai seorang mukallaf, Nabi Muhammad SAW bertanggungjawab terhadap dirinya. Sebagai pemilik keluarga dan kerabat, Nabi SAW bertanggungjawab terhadap keluarga dan kerabatnya, dan sebagai seorang Nabi dan rasul Allah, baginda bertanggungjawab terhadap semua manusia.
Ini jelas menunjukkan bahawa keluarga amat penting bagi da’i untuk mendekati dan mendakwahi mereka terlebih dahulu. Seperti yang diungkapkan di awal perbicaraan bahawa kadangkala ada bahaya dan masalah bagi seorang da’i dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Secara tidak langsung orang yang paling dekat dengan kita untuk kita mohon pertolongan dan kefahaman adalah daripada keluarga kita juga. Jika mereka sudah memahami akan tanggungjawab kita dalam dakwah, mungkin suatu hari merekalah yang menjadi tulang belakang dan penyokong kita yang paling kuat. Contoh yang paling jelas, dengan dakwah dan akhlak Nabi terhadap keluarganya, maka mereka amat menyokong dakwah Rasulullah. Khadijah, sebagai seorang peniaga berjaya juga isteri Nabi akhirnya sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk dakwah yang diserukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Sering timbul persoalan, bagaimana kita hendak mendakwahi kaum keluarga kita? Antara kaedah yang boleh kita terapkan adalah melalui qudwah atau memberi contoh teladan melalui tingkah laku kita. Jika kita menunjukkan akhlak yang buruk contohnya menyakiti hati ibu bapa kita, maka apakah keluarga kita dengan mudah dapat menerima apa yang hendak kita sampaikan dalam konteks berbuat baik terhadap ibu bapa. Sudah tentu tidak bukan!
Antara contoh yang lain, kita mengajak adik-beradik kita dan keluarga kita menunaikan perintah Allah iaitu menutup aurat kepada yang bukan mahram kita. Kita sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengajak mereka menutup aurat. Namun suatu ketika, kita pula keluar rumah untuk mengangkat baju di ampaian tanpa memakai tudung!! Apakah persepsi orang terhadap kita? Antara cemuhan yang kita terima “Cakap tak serupa bikin!!”. Justeru, apakah kita dapat menyakinkan mereka akan tindakan dan tanggungjawab kita? Dan perkara yang paling penting adalah menjelaskan dan memberi kefahaman tentang tanggungjawab kita melalui tindakan dan ucapan kita. Jika kita sendiri tidak yakin dengan tanggungjawab kita, maka mungkin kita pula akan tergugat.
Sebagai kesimpulan, laksanakan tanggungjawab kita terhadap diri kita dan keluarga untuk lebih mengukuhkan kita berada di jalan-Nya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


Tiada ulasan:
Catat Ulasan